Guna pampasan untuk upah haji arwah suami
KOTA BHARU – Wang pampasan insurans berjumlah RM91,964.64 dari Predential Bank Simpanan Nasional (BSN) Takaful akan digunakan sebaik mungkin bagi merealisasikan hasrat arwah suami menunaikan haji. Nurul Zatil Aqmar Mat Lazim, 28, isteri kepada Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Negeri Sembilan, Allahyarham Safrizal Tarmizan, 31, berkata, sebahagian wang pampasan itu akan digunakan untuk upah haji arwah suaminya. “Sebelum ini saya dan arwah ada pasang niat mengerjakan haji bersama tetapi tidak kesampaian apabila arwah meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya, September lalu. “Wang selebihnya akan disimpan untuk pendidikan anak saya apabila dia dewasa nanti, ”katanya kepada Sinar Harian di rumahnya di Kampung Che Deris, di sini.
Hadir sama pada penyerahan tersebut ialah Nurul Izwani Azis, Muhammad Syamwill Mertadza, Mohd Norfazreim Imran dan Azue Azereen Mohd Sharif.
Nurul Zatil berkata, selepas kemalangan itu, dia dan anak lelaki tunggalnya, Uma Al-Fateh Safrizal, 3, tinggal bersama ibunya di Kampung Che Deris, Pantai Cahaya Bulan (PCB) kerana anak lelakinya itu memerlukan rawatan dan perhatian.
“Kemalangan tersebut menyebabkan saya hilang upaya untuk berjalan dan terpaksa berpindah tempat mengajar dari Sekolah Agama Pedas, Rembau, Negeri Sembilan ke Kelantan, tambahan pula kami perlu mendapat rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian,” katanya.
Dalam kejadian 20 September lalu, suami dan ibunya, Asmita Lukman, 56, maut selepas terbabit kemalangan di Kilometer 106.2 Kuala Krai-Gua Musang ketikaperjalanan menuju ke Pengkalan Kubor.