Masalah pusaka umat Islam semakin kronik, membarah
SAYA telah bekerja membantu umat Islam menyelesaikan isu pusaka dan perancangan harta pusaka mereka masuk tahun yang ke-20. Saya mendapati masalah pusaka yang melanda umat Islam hari ini semakin lama semakin kronik dan membarah.
Ini dibuktikan oleh peningkatan nilai harta pusaka yang tertunggak sehingga RM 60 bilion seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Menteri kementerian yang berkenaan baru-baru ini.
Sering kali juga kita terbaca dan saya sendiri menemui kes-kes harta pusaka yang waris-warisnya berbalah sehingga di luar kewarasan akal fikiran seorang manusia sehingga sanggup membunuh sesama sendiri. Kalau setakat bergaduh mulut, maki hamun dan bomoh-membomoh, itu sudah dianggap perkara biasa.
Harta pusaka yang bermasalah dan tidak boleh diwariskan kepada generasi seterusnya adalah satu kerugian kepada negara kerana jika ia boleh diwariskan ia pasti mampu menjadi modal bagi menggembleng ekonomi ummah dan generasi seterusnya.
Di manakah silapnya? Apakah faktor yang menyebabkan masalah ini berlaku ? Allah memberikan panduan lengkap kepada kita tentang urusan harta pusaka dengan menurunkan ayat-ayat muwarikh ayat 11, 12 dan 176 Surah an-Nisa’ tentang hak waris-waris namun umat Islam tetap berhadapan bermasalah dalam urusan harta pusaka dan ia semakin kompleks.
Masalah waris berbalah ini bukan sahaja dihadapi oleh umat Islam Malaysia malah bila saya dijemput berceramah di Singapura dan Brunei , saya dapati masalah ini juga wujud di kalangan umat Islam di sana.
Umum mengetahui, faraid ialah asas kepada pembahagian harta pusaka bagi umat Islam. Walaupun demikian di Malaysia melalui ruang lingkup undang-undang Syarak dan Sivil, ada ruang juga untuk umat Islam merancang harta pusaka mereka melalui kaedah wasiat, hibah, harta sepencarian, wakaf dan amanah selagi mereka masih hidup.
Apabila disentuh berkaitan masalah pusaka, ia sering dikaitkan dengan ketidakfahaman masyarakat terhadap hukum faraid, Maka hari ini banyak pihak mula mengambil inisiatif mendidik masyarakat mengenai Faraid yang merupakan sesuatu perkembangan yang sangat positif di dalam masyarakat
Kalau 20 tahun lepas, hanya saya dan beberapa orang rakan sahaja yang komited menyebarkan ilmu berkaitan Faraid, hari ini ada ramai daie-daie di luar sana yang mula mendidik masyarakat tentangnya.
Walaupun begitu, saya memerhatikan bahawa kebanyakan metodologi pengajaran Faraid ini lebih fokus kepada siapa yang berhak terhadap harta pusaka itu dan matematik pengiraannya. Penekanannya lebih kepada betapa waris-waris ini wajib diberikan bahagian mereka tetapi jarang pula ditekankan apakah tanggungjawab penerima faraid ini.
Contohnya, apabila si mati meninggalkan anak perempuan sahaja dan seorang isteri manakala telah kematian ayah lebih awal tetapi ada adik-beradik . Di dalam keadaan ini, adik-beradik si mati juga menerima harta pusakanya. Sangat jarang saya berjumpa kes adik-beradik menolak hak mereka dalam faraid dan menyerahkan kepada anak-anak saudara mereka.
Adik-beradik si mati selain menerima harta pusaka , mereka juga sebenarnya adalah wali kepada anak-anak saudara perempuan. Wali bukan sahaja bertanggungjawab untuk urusan pernikahan, malah mereka juga bertanggungjawab untuk memastikan kebajikan, kemaslahatan dan keselamatan anak-anak saudara perempuan mereka terjaga dan terjamin. Hakikat kehidupan hari ini, berapa ramai sahaja wali yang mengambil tanggungjawab ini?
Dalam banyak keadaan, selepas selesai urusan pusaka dan semua waris mengambil hak masing-masing, anak-anak saudara perempuan ini perlu meneruskan kehidupan bersama ibu mereka bersendirian. Sangat jarang kita temui adik-beradik si mati memainkan peranan aktif dalam urusan kehidupan anak-anak saudara perempuannya. Selepas menerima harta pusaka, bapa-bapa saudara ini biasanya tidak dapat dikesan dan hanya ditemui pada Hari Raya sahaja!
Malah dalam kes-kes tertentu yang saya temui (bukan semua), bapa-bapa saudara ini pula berbalah dengan anak saudara perempuan mengenai harta pusaka si mati sehingga ada kes anak-anak perempuan ini terpaksa meninggalkan rumah pusaka ayah mereka!
Di manakah sifat tanggungjawab dan belas kasihan bapa-bapa saudara ini terhadap anak-anak saudara mereka ? Adakah hak yang mereka terima di dalam faraid ini adalah hak yang diberi percuma oleh Allah SWT tanpa sebarang tanggungjawab yang mengiringinya.
Adakah ini ‘roh’ yang dibawa faraid? Ambil bahagian masing-masing dan selepas itu tidak mempedulikan nasib waris-waris yang lain?
Mungkin sampai masanya saya dan rakan-rakan daie-daie ilmu faraid perlu mengubah perspektif pendidikan kami. Selain dari menekankan tentang hak faraid dan matematiknya , tanggungjawab waris-waris yang menerima harta pusaka juga perlu dititikberatkan.
Barulah seimbang di antara hak dan tanggungjawab. Barulah faraid itu dapat dilihat keindahan dan kecantikannya di dalam menangani maslahat pusaka umat Islam.
ARIFFIN SABIRIN, Pengasas dan Pengarah Eksekutif Wasiyyah Shoppe Sdn Bhd.