Kos rawatan meningkat, perlu ada tabungan
Kesihatan adalah kekayaan dan pepatah ini dengan sendirinya menggambarkan betapa pentingnya kesihatan dalam kehidupan kita. Dengan kesihatan yang baik, kita dapat menjalani kehidupan tanpa banyak kesukaran. Rutin harian berjalan lancar, langkah mencari rezeki tidak terganggu, malah kita mempunyai masa untuk beriadah dan bersosial bersama keluarga dan teman-teman. Bagaimanapun kita tidak mungkin sentiasa sihat. Kadangkala kesihatan terganggu kerana sakit atau mungkin juga kemalangan. Selain itu, usia yang kian meningkat juga memberi kesan terhadap tahap kesihatan kita.
Satu kajian menunjukkan bahawa kos perubatan di negara ini dianggarkan meningkat pada kadar antara 10-15% setahun dan sekiranya kenaikan ini berterusan. sebahagian besar rakyat negara ini mungkin tidak mampu mendapatkan rawatan sekiranya jatuh sakit pada masa depan. Berdasarkan unjuran kenaikan berkenaan, kos rawatan hari ini yang bernilai RM20,000, tidak mustahil meningkat kepada RM54,100 dalam tempoh 10 tahun dan kepada RM146,500 dalam tempoh 20 tahun. Justeru, adakah anda bersedia sekiranya berlaku perkara luar dugaan yang memberi kesan kepada kesihatan anda?
Adakah anda mempunyai tabungan dan perlindungan insurans untuk membiayainya? Dalam usia masih muda ketika badan masih sihat, kebanyakan kita tidak terfikirkan hal sebegini lantas mengabaikan keperluan kesihatan. Kita bukan sahaja tidak menjalani gaya hidup yang menitikberatkan kesihatan diri, malah kita juga terlupa menabung untuk perkara luar dugaan. Tetapi, bagaimana jika satu hari, tiba-tiba anda dimaklumkan anda mempunyai kanser dan ia perlu dirawat segera. Rawatan untuk kanser bukan sahaja mahal malah membabitkan tempoh yang panjang.
Berapa pula rawatan untuk penyakit lain? Rawatan untuk strok ketika ini boleh mencecah sehinga RM15,000, serangan jantung RM50,000 manakala kencing manis dan darah tinggi memerlukan rawatan bulanan yang boleh mencecah sehingga RM5,000 setahun. Jadi bayangkan kos rawatan yang perlu anda tanggung sekiranya anda disahkan sakit pada masa depan? Ingat kos rawatan hari ini dan sepuluh tahun akan datang sudah pasti jauh berbeza.. Persoalan paling relevan dalam situasi itu ialah adakah anda mempunyai tabungan yang cukup untuk membiayai kos rawatan ketika anda hilang keupayaan untuk bekerja? Sakit, kehilangan upaya dan usia tua memberi kesan besar bukan saja kepada emosi dan fizikal pesakit, tetapi juga kepada ekonomi keluarga.
Sayangnya ramai antara kita yang mengambil mudah mengenai perlindungan dan tabungan kesihatan walaupun menyedari kesihatan yang terjejas biasanya akan membabitkan kos rawatan tinggi dan berterusan. Ada keluarga yang kehilangan sumber pendapatan utama apabila ketua keluarga jatuh sakit secara tiba-tiba, ada isteri terpaksa berhenti kerja apabila anak jatuh sakit dan ada pesara yang masih terus bekerja kerana isteri sakit.
Memandangkan kesihatan yang terjejas memberi kesan negatif kepada pendapatan diri dan keluarga, adalah penting untuk kita mempunyai tabungan dan juga insurans kesihatan dalam kehidupan. Tabungan penting supaya yang tersayang di sekeliling kita masih mempunyai sumber kewangan dapat meneruskan kehidupan seharian manakala insurans dapat membantu membiayai kos rawatan yang diperlukan. Tanpa insurans, kita mungkin kehilangan semua tabungan untuk membiayai kos rawatan sedangkan aspek lain kehidupan masih berjalan seperti biasa.
Tip memiliki 1. Mulakan pelaburan dan lakukannya secara konsisten Pastikan anda melabur sekurang-kurangnya RM100 sebulan bulan supaya anda mempunyai tabungan untuk menampung kos rawatan apabila perlu. Tahukah anda, simpanan RM100 sebulan dengan andaian pulangan 7%, akan membentuk tabungan berjumlah RM17,308 dalam tempoh 10 tahun. Pastikan anda memilih pelaburan yang berisiko rendah dan memberi pulangan kompetitif seperti ASB dan ASB2. Paling menarik apabila melabur dalam ASB, anda boleh melakukan pelaburan secara automatik setiap bulan menerusi Kemudahan Potongan Gaji. Ini akan memastikan anda dapat membuat pelaburan secara konsisten, pada kos minima dan ‘hassle free’. 2. Mengambil insurans Insurans merupakan perlindungan kesihatan yang penting. Apabila mengambil insurans, ketahui jenis penyakit yang dilindungi. Labih banyak perlindungan, lebih tinggi premium bulanannya. Insurans akan melindungi simpanan anda daripada digunakan untuk tujuan rawatan. 3. Ambil tahu mengenai perlindungan kesihatan yang ditawarkan syarikat anda bekerja, Anda tidak perlu membayar kos rawatan untuk penyakit yang dilindungi syarikat anda. Dengan cara ini, anda dapat menggunakan wang berkenan untuk perkara lain seperti pelaburan. Sekiranya anda perlu memilih majikan, pilihlah majikan yang menawarkan kemudahan perubatan terbaik yang sebolehnya turut membiayai anak-anak dan lebih baik lagi turut membiayai pasangan anda. Lebih baik lagi jika kos rawatan yang dibiayai adalah besar dan meliputi penyakit kronik. 4. Jalani gaya hidup sihat Ia membantu anda kekal sihat dan mengurangkan keperluan untuk berjumpa doktor.
Jadikan buah-buahan dan sayur-sayuran sebagai amalan pemakanan anda dan lakukakan aktiviti riadah. Semakin kurang anda bertemu doktor semakin banyak duit yang dapat dijimatkan. Jadual menunjukkan bagaimana kuasa pengkompaunan mengembangkan pelaburan anda jika ia dilakukan secara konsisten setiap bulan. Tempoh Pelaburan (Tahun) Jumlah pelaburan bulanan (RM) 50 100 150 10 8,654 17,308 25,962 20 26,046 52,092 78,139 30 60,998 121,997 182,995 40 131,240 262,481 393,722 Pelaburan dilakukan dalam instrumen yang memberi pulangan 7 peratus setahun, modal dan agihan pendapatan tahunan tidak dikeluarkan. Kiraan adalah berdasarkan unjuran termudah.
Untuk keterangan lanjut, sila Whatsapp ke -> http://izam.wasap.my