Caj perundingan doktor naik 14.4%

PUTRAJAYA 5 Mac – Penentuan harga maksimum untuk perkhidmatan konsultasi profesional di hospital swasta dilakukan selepas mengambil kira Indeks Harga Pengguna (IHP) untuk tempoh 2002 hingga 2010.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, ketika menetapkan harga maksimum tersebut, kerajaan telah memutuskan kenaikan caj profesional hospital swasta pada purata 14.4 peratus berbanding 30 peratus yang dicadangkan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

“Jadual harga yang ditetapkan adalah harga maksimum. Pengamal perubatan swasta bebas mengenakan sebarang bayaran, asal tidak melebihi harga maksimum yang ditetapkan.

“Penetapan caj profesional ini masih bergantung kepada pasaran. Orang ramai boleh memilih pengamal perubatan yang menawarkan harga lebih rendah tetapi menawarkan perkhidmatan yang baik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Kesedaran Garam Sedunia di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan peningkatan caj perundingan dan pemeriksaan di klinik swasta berikutan pewartaan Perintah Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta pada 16 Disember lalu.

Perintah tersebut antaranya menyenaraikan bahawa caj perundingan awal dengan pengamal am bukan pakar ditetapkan antara RM30 hingga RM125. Bayaran tersebut meliputi perundingan dan pemeriksaan yang disertakan pelan rawatan.

Perundingan awal dengan doktor pakar yang melibatkan pemeriksaan dan pelan rawatan pula dikenakan bayaran antara RM80 hingga RM235.

Dalam pada itu, Subramaniam berkata, komponen selain caj profesional seperti bayaran untuk katil, ubat, ujian makmal, perkhidmatan jururawat serta penggunaan bilik bedah di hospital swasta tidak dikawal kerana kos adalah berbeza antara hospital dan kawasan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140306/dn_18/Caj-perundingan-doktor-naik-144#ixzz2vAtBJfZH
© Utusan Melayu (M) Bhd  [wdca_ad id=”95″ ]