Ramai tak sedar kanser usus besar
Kuala Lumpur: “Ramai yang mengetahui mengenai kanser payudara, tetapi tidak ramai yang sedar dan mengambil berat mengenai kanser usus sedangkan ia merupakan kanser kedua terbesar yang menyerang lelaki dan wanita,” kata Ahli Majlis Tertinggi Yayasan Sime Darby (YSD) Datin Paduka Zaitoon Datuk Othman.
Menurut beliau, faktor kewangan, kekurangan masa serta usia yang semakin meningkat menyebabkan kanser usus atau juga dikenali kanser kolorektal sering diabaikan.
“Kebanyakan mereka yang kurang berkemampuan tidak melakukan pemeriksaan awal untuk mengesan penyakit ini kerana kos rawatan yang mahal.
“Sebab itu program ini diwujudkan untuk memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah terutama mereka yang berusia menjalani pemeriksaan awal,” katanya dalam satu majlis anjuran YSD, di sini, semalam.
Pada majlis itu, Zaitoon mewakili YSD menyerahkan sumbangan RM135,000 kepada The Cancer Advocacy Society of Malaysia (EMPOWERED) sebagai tanda sokongan kepada program yang dianjurkan iaitu Program Kesedaran, Saringan dan Rawatan Barah Usus selama tujuh bulan bermula Januari tahun depan membabitkan penduduk Perumahan Awam Seri Sabah.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif YSD Yatela Zainal Abidin serta Presiden yang juga Pengasas EMPOWERED Dr Christina.
Christina berkata, tiada tanda-tanda jelas menunjukkan seseorang diserang kanser usus menyebabkan ramai yang gagal mendapatkan rawatan di peringkat awal.
“Bagaimanapun, jika terdapat darah pada najis selain kerap berasa seperti ingin membuang air besar dan ia berlanjutan sehingga sebulan, pesakit dinasihatkan ke hospital untuk melakukan ujian dan rawatan lanjut,” katanya.
Menurut beliau, kanser usus boleh dirawat sekiranya ia dikesan pada peringkat awal dan pesakit mendapatkan rawatan susulan dengan segera. “Justeru, saya mohon penduduk berikan kerjasama sepanjang program berlangsung untuk mencegah penyakit ini daripada menjadi lebih teruk,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/29