MASALAH JANTUNG BAYI BARU LAHIR
Ada bayi yang dikesan hadapi masalah jantung sejurus dilahirkan dan ada selepas berusia beberapa minggu atau bulan.
Bayi baru lahir yang dalam keadaan kebiru-biruan selalu dikaitkan dengan masalah jantung berlubang. Sebenarnya permasalahan jantung bagi bayi dan kanak-kanak lebih besar.
Walaupun memang warna bayi yang kebiru-biruan atau pucat membawa tanda masalah jantung tetapi ada juga bayi kelihatan sihat tetapi kemudiannya dikesan berhadapan masalah jantung.
Ada dua jenis masalah jantung yang dihadapi bayi; lahir dengan masalah jantung dan satu lagi keadaan, dikesan mendapat masalah jantung apabila sudah berusia beberapa minggu atau bulan.
Bayi yang berhadapan dengan keadaan berwarna biru atau pucat dikaitkan dengan masalah ‘tetralogy of fallot’. Bayi itu berhadapan dengan masalah jantung yang dinamakan ‘congenital heart defects’ atau masalah jantung konjenital. Ia adalah kecacatan bentuk jantung atau adanya saluran darah yang besar berdekatan jantung. Perkataan ‘konjenital’ itu bermaksud, ‘lahir dengannya’ atau ‘sejak lahir’.
[wdsm_ad id=”2316″ class=” ” ]Secara umum ada dua jenis masalah jantung konjenital. Perunding Kardiologis Kanak-kanak, Dr Azam Mohd Noor berkata, kecacatan itu biasanya disebabkan ‘septal defects’ atau lubang antara dinding kiri dan kanan laluan darah antara dua bahagian jantung, manakala satu lagi dikenali sebagai ‘patent ductus arteriosus’ atau salur darah yang terbuka antara aorta dan arteri pulmonari yang tidak tertutup selepas lahir sebagaimana sepatutnya. Keadaan ini akan membuatkan terlalu banyak darah mengalir ke paru-paru.
“Itu antara dua keadaan yang umum tetapi ada banyak lagi jenis kecacatan jantung misalnya masalah seperti tidak bersambung, tersalah letak duduk arteri, injap tidak terbentuk dan salur darah tersekat atau sempit,” katanya.
Masalah jantung bayi juga ada yang boleh dikesan sejak lahir. Tetapi dalam sesetengah kes seperti membabitkan sempitan pada urat besar yang membawa darah dari jantung, ia tidak akan kelihatan untuk beberapa tahun dan beberapa perubahan bahaya pada tubuh (lesions) seperti sedikit kecacatan pada ventrikal mungkin tidak menunjukkan masalah.
“Malah, ada bayi yang sejak lahir kelihatan sihat, tetapi apabila usianya masuk empat ke lima minggu, mula menunjukkan tanda-tanda masalah jantung. Antaranya kelihatan penat seperti orang berlari marathon. Ketika menyusu, dia nampak penat, berpeluh-peluh. Begitu juga apabila sudah pandai berjalan, dia akan cepat penat,” katanya.
Dilihat dari sudut lebih global, masalah jantung konjenital sebenarnya tidak terlalu menakutkan daripada pandangan statistik. Di Amerika, hanya lapan daripada setiap 1,000 kelahiran berhadapan dengan masalah ini. Di Malaysia pula hanya mencatatkan empat kes dalam 1,000 kelahiran tetapi jumlah ini semakin bertambah setiap tahun. Ia sesuatu yang sepatutnya diberikan perhatian kerana membabitkan kos pembedahan sangat mahal bagi sesetengah kes.
“Bukan semua kes masalah jantung konjenital ini memerlukan pembedahan tetapi jika itu yang diperlukan, di hospital swasta kosnya mencapai antara RM20,000 hingga RM25,000 dan tidak dilindungi insurans. Jika di hospital kerajaan, hanya Institut Jantung Negara menawarkan pilihan pembedahan tetapi pesakit harus mengikut giliran. Pesakit yang benar-benar dalam keadaan kronik akan diutamakan, tetapi pesakit yang tidak kronik pun, dalam proses menunggu mereka terdedah kepada pelbagai risiko jangkitan yang akhirnya membuatkan mereka meninggal dunia sebelum tarikh pembedahan,” kata Dr Azam.
Bagaimana kecacatan jantung terjadi?
Secara ringkas, jantung yang sihat terbahagi kepada empat kamar rongga, dua di kanan dan dua di kiri. Kedua-dua bahagian ini digunakan untuk tugas yang berlainan untuk melaksanakan fungsi asas jantung – mengepam darah ke seluruh tubuh. Sebelah kanan menggerakkan darah ke dalam saluran arteri pulmonari dan membawa ke paru-paru. Di sebelah kiri, jantung mengepam darah ke aorta. Dari oarta ada pelbagai lagi salur darah yang menyebarkan darah ke seluruh bahagian tubuh.
Jantung bayi akan mula berdenyut pada hari ke 22 selepas ‘conception’. Ketika ini, jantung hanyalah berbentuk tiub yang ringkas. Antara hari ke 22 dan ke 24, jantung mula membengkok ke kanan dan bertaut secara sendiri untuk membentuk lengkok (loop). Hari ke 28 selepas ‘conception’ lengkok itu terbentuk dan tiub secara samar membentuk seperti jantung dengan struktur yang bertindak balas dengan dua bahagian jantung dan salur darah yang membawa darah keluar masuk darinya.
Tetapi jika mesej genetik yang mengarahkan pertumbuhan dan pergerakan sel awal jantung ini bercampur aduk, sebahagian daripada otot jantung gagal terbentuk. Atau jika proses membengkok dan lengkok tidak berjalan sebagaimana sepatutnya, jantung akan membentuk sambungan yang abnormal.
Tanda yang harus anda perhatikan
Secara umum, jika secara genetik anda memang datang dari keluarga yang berhadapan dengan masalah jantung konjenital, selalunya kandungan anda akan dipertimbangkan untuk menjalani ujian imbasan janin bagi mengetahui adakah bayi anda berhadapan dengan masalah jantung. Ujian itu dikenali sebagai ‘echocardiography’. Begitupun kata Dr Azam, ujian sebegitu pun tidak akan menjamin pengesanan secara terperinci.“Melalui ujian begitu, doktor mungkin tahu ada masalah lubang pada jantung tetapi kita tidak tahu di bahagian mana secara tepat. Doktor akan mempersiapkan ibu bapa dengan pendekatan psikologi bagi mereka menangani masalah ini,”katanya.
Jika anda tidak memiliki sejarah keluarga berkaitan masalah jantung konjenital, perhatikan jika bayi anda berubah warna beberapa hari, minggu atau bulan selepas dilahirkan. Kecacatan jantung yang serius mungkin akan muncul kemudian, Bayi ketika ini akan berwarna biru, pucat di sekeliling mata, bibir dan kuku jari.
Bengkak di bahagian kaki, perut atau sekeliling mata
Cepat penat ketika menyusu yang membuatkan berat badan tidak bertambah
Faktor
Punca masalah jantung konjenital terjadi tidak diketahui secara tepat, tetapi beberapa faktor keliling dan genetik dikenal pasti menyumbang kepada masalah ini termasuklah:
1. Genetik – masalah kromosom. Ini biasanya terjadi pada pasangan yang berusia kerana mereka berisiko untuk melahirkan bayi sindrom down.
2. Penyakit ibu ketika hamil – Diabetes yang kronik akan mengganggu perkembangan jantung janin. Anda boleh mengurangkan risiko ini dengan mengawal diabetes.
3. Ubat-ubatan – Sebaiknya berikan senarai ubat yang anda ambil kepada doktor perbidanan yang merawat, jika anda berhasrat untuk hamil. Ada sesetengah ubat yang diambil membawa kepada risiko jantung konjenital seperti lithium dan isotretinoin. Selain itu, pastikan anda mengambil ubat-ubatan yang doktor sarankan, Jangan makan ubat herba atau apa saja ubat tanpa nasihat doktor.
4. Jangkitan ketika hamil – Ibu yang dijangkiti penyakit seperti rubella. Penting untuk ibu-ibu merancang kehamilan dan bertemu doktor sebelum hamil. Anda boleh diberi vaksin rubella sebelum hamil.
Rawatan
Rawatan bergantung kepada masalah. Jika ia membabitkan lubang yang terlalu besar, rawatan terbaik adalah pembedahan tetapi jika ia hanya membabitkan lubang yang kecil, ia akan menerusi prosedur non-surgical dinamakan ‘catheterization’. Doktor akan memasukkan tiub (catheter) untuk menutupnya.
“Jika membabitkan catheterization ia akan dibuat bila-bila masa. Risikonya lagi tinggi jika bayi masih kecil. Jika ia membabitkan pembedahan, doktor akan mengambil kira berat badan bayi bukan usia,” katanya.
[wdsm_ad id=”2298″ class=” ” ]PENGHIDAP diabetes mempunyai tiga kali ganda risiko untuk mendapat penyakit jantung berbanding mereka yang sihat.
JIKA kita bertanya saudara-mara mahupun sahabat handai, bukanlah menghairankan pada hari ini kita akan berdepan dengan sekurang-kurang dua atau tiga orang yang menghidap penyakit diabetis mellitus. Malahan mungkin anda adalah seorang pesakit diabetis mellitus.
Berdasarkan bancian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2006 yang melibatkan hampir 40,000 penduduk di Semenanjung Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak, hampir 15 peratus orang dewasa yang berumur 30 tahun ke atas menghidap penyakit diabetis mellitus.
Ini merupakan satu peningkatan yang mendadak berbanding dengan bancian yang sama 10 tahun yang lalu (1996) dimana hanya 8.3 peratus sahaja yang menghidap diabetis mellitus.
Maknanya, setiap seorang daripada tujuh orang dewasa yang berumur 30 tahun ke atas menghidap penyakit diabetis. Yang lebih merisaukan ialah hampir separuh daripada jumlah tersebut tidak sedar yang mereka mempunyai penyakit diabetis.
Peningkatan yang tinggi ini disebabkan oleh beberapa faktor yang ketara. Antaranya termasuk penambahan kalori akibat makan berlebihan dan pengurangan aktiviti fizikal.
Bancian yang sama juga mendapati hampir 44 peratus penduduk dewasa negara ini mempunyai masalah berat badan yang berlebihan dan obesiti. Semestinya berat badan yang berlebihan menjurus kepada pelbagai jenis penyakit termasuk penyakit diabetis mellitus.
Kaitan antara diabetis melitus dan penyakit jantung:
Penyakit diabetis sering dikaitkan dengan masalah jangkitan kuman hingga mengakibatkan kaki seseorang itu dipotong. Tidak ramai yang sedar bahawa diabetis mellitus boleh menjurus kepada penyakit jantung terutamanya penyakit jantung koronari.
Penyakit jantung koronari merupakan penyebab utama kematian di Malaysia, terutamanya di kalangan penduduk pertengahan umur dan warga tua.
Terdapat banyak sebab kenapa pesakit diabetis mudah mendapat penyakit jantung. Yang paling utama ialah ketinggian paras gula dalam darah.
Kebanyakan pesakit diabetis juga mengalami risiko penyakit jantung yang lain seperti tekanan darah tinggi, kolesterol yang tinggi serta berat badan yang berlebihan.
Secara kasar seseorang pesakit diabetis mempunyai tiga kali ganda risiko untuk mendapat penyakit jantung berbanding mereka yang sihat. Jika pesakit diabetis mendapat penyakit jantung, risiko untuk berdepan dengan komplikasi serta meninggal dunia akibat penyakit jantung juga adalah dua kali ganda lebih tinggi.
Berdasarkan satu kajian terperinci, dua pertiga daripada pesakit diabetis akan meninggal dunia akibat penyakit jantung. Ini merupakan satu jumlah yang sangat tinggi berbanding dengan kelompok penyakit yang lain.
SOAL JAWAB:
Soalan : Mengikut statistik Kementerian Kesihatan, jumlah pesakit yang menghadapi masalah sakit jantung semakin bertambah. Sesetengah pesakit hampir meninggal dunia akibat serangan jantung. Bincangkan sebab-sebab berlaku masalah serangan jantung dalam kalangan rakyat Malaysia.
Pengenalan
Penyakit jantung ialah kegagalan jantung untuk mengalirkan darah serta khasiat makanan ke seluruh tubuh akan mengakibatkan penyakit jantung. Penyakit ini merupakan penyakit kronik yang kian menyerang manusia, khususnya mereka yang berusia lebih daripada 30 tahun.
Isi Perbincangan
Amalan Pemakanan Tidak Seimbang
Amalan pemakanan yang tidak seimbang adalah salah satu faktor berlakunya serangan jantung. Rakyat Malaysia gemar mengambil makanan yang berlemak dan berkolestrol tinggi menyebabkan arteri tersumbat dengan gumpulan lemak. Tekanan pada arteri untuk berfungsi akan menyebabkan darah tinggi dan akhirnya mengakibatkan penyakit yang serius seperti penyakit jantung dan lain-lain.
Kurang Senaman
Penyakit ini juga berpunca daripada senaman yang tidak teratur. Kebarangkalian senaman yang dilakukan adalah tidak konsisten atau keterlaluan. Hal ini menyebabkan makanan yang berkarbohidrat dan berlemak tinggi tidak dapat dimetabolismekan. Jika keadaan ini berlanjutan, pengumpulan lemak yang berlebihan dalam badan akan mengakibatkan penyakit jantung,
Faktor Genetik
Faktor genetik atau riwayat keluarga juga merupakan punca penyakit jantung ini berlaku. Sesetengah keluarga lebih cenderung mengidap tekanan darah tinggi. Dengan itu, seandainya kedua-dua ibu bapa mengidap hipertensi, risiko pada anak untuk mengidap penyakit yang sama dengan ibu bapanya juga agak tinggi.
Pengambilan Alkohol
Di samping itu, pengambilan alkohol oleh pesakit kencing manis dan amalan merokok yang kerap akan menyebabkan penyakit jantung. Contohnya, amalan merokok menyebabkan saliran darah menjadi sempit yang seterusnya cenderung menyebabkan tekanan darah meningkat dan sekaligus menyebabkan serangan jantung.
Kesimpulan
Berdasarkan perbincangan di atas, jelaslah bahawa penyakit jantung sememangnya merupakan penyakit yang dikenalpasti semakin membimbangkan. Pencegahan dari awal hendaklah dilakukan agar penyakit ini dapat dielakkan agar negara kita dapat melahirkan warga yang sihat yang sentiasa mengamalkan cara hidup sihat.
Sumber Daripada: Berita Harian Online Oleh: Hafizah Iszahanid
RAMAI yang tidak sedar bahawa lemah jantung (congestive heart failure) sebenarnya lebih teruk daripada barah payu dara. Apatah lagi penyakit itu bukan diagnosis sebaliknya komplikasi jantung.
Lemah jantung tidak bermaksud jantung akan berhenti berdenyut secara tiba-tiba, sebaliknya ia akan terjadi secara perlahan-lahan atau dengan cepat selepas serangan jantung atau masalah otot jantung.
Pakar Perunding Kardiologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (UM), Prof Haizal Haron Kamar, berkata lemah jantung merujuk pada kegagalan jantung untuk mengepam darah secukupnya mengikut keperluan tubuh.
“Apa saja masalah jantung boleh membawa kepada lemah jantung. Apabila jantung gagal mengepam darah mengikut keperluan, darah tidak diagihkan dengan baik dan bertindak menekan salur darah. Ini menyebabkan cecair terkeluar daripada salur darah dan masuk ke tisu badan,” katanya.
Jika jantung sebelah kiri gagal berfungsi, cecair berkumpul dalam paru-paru (pulmonary edema). Lebihan cecair ini menyebabkan kesukaran pada ruang pernafasan untuk mengembang setiap kali anda menarik nafas. Anda mengalami nafas pendek terutama jika melakukan aktiviti atau berbaring.
Jantung kanan yang gagal berfungsi pula, cecair akan berkumpul di kaki dan bawah kaki. Apabila masalah ini semakin teruk, bahagian atas kaki akan bengkak dan perut turut kembung.
Berat badan akan bertambah diikuti masalah sembab air. Bengkak air (edema) adalah tanda kegagalan jantung sebelah kanan. Perkara paling penting yang perlu anda tahu mengenai lemah jantung ialah masalah progresif mengikut peningkatan usia.
Prof Haizal berkata, lemah jantung boleh terjadi dengan cepat selepas serangan jantung atau terjadi secara perlahan-lahan selepas diserang tekanan darah tinggi atau masalah koronari arteri.
Gaya hidup seseorang banyak kaitannya dengan serangan jantung atau masalah jantung. Merokok, terlebih berat atau makanan yang tinggi kolesterol dan lemak boleh menyebabkan atau menyumbang kepada lemah jantung.
Kadangkala jantung menjadi lemah tanpa ada penjelasan, keadaan yang dikenali sebagai “idiopathic dilated cardiomyopathy,” katanya.
Faktor lemah jantung
Penyakit koronari arteri dan serangan jantung. Penyakit koronari arteri adalah masalah jantung paling biasa dan penyebab kebanyakan kes lemah jantung. Dalam satu masa, arteri yang membekalkan darah kepada otot jantung menjadi sempit kerana pengumpulan lemak yang dikenali sebagai ‘atherosclerosis’.
Ada kalanya penyempitan itu mengandungi lemak dan bahan lain dikenali sebagai plak. Darah bergerak secara perlahan melalui arteri yang sempit, menyebabkan sesetengah bahagian otot jantung terhalang daripada darah yang kaya oksigen. Kawasan itu akan menjadi lemah kerana kurang oksigen dan tidak mengepam dengan kuat.
Dalam kebanyakan kes, aliran darah ke otot hanya cukup menjadikannya ‘hidup’ tetapi bukan berfungsi dengan sempurna. Serangan jantung terjadi jika plak yang tidak seimbang pecah menyebabkan darah beku menyekat aliran darah kepada kawasan otot jantung.
Serangan jantung menyebabkan kematian otot jantung yang dengan cepat melemahkan keupayaan jantung mengepam. Kadangkala penyakit koronari arteri terhad kepada koronari arteri kecil. Jika arteri tersekat, ia tidak menyebabkan serangan jantung tetapi lama kelamaan jantung menjadi lemah.
Tekanan darah tinggi – Jika tekanan ekanan darah tinggi, jantung terpaksa berkerja keras daripada yang sepatutnya untuk mengedarkan darah ke seluruh badan. Lama kelamaan, otot jantung menjadi tebal atau dalam sesetengah kes menjadi kembang. Akhirnya, otot jantung menjadi terlalu lemah atau terlalu keras untuk mengepam darah secara berkesan.
Masalah injap jantung – Empat injap jantung memastikan darah mengalir pada arah yang betul melalui jantung. Injap yang rosak memaksa jantung bekerja lebih keras bagi memastikan darah mengikut arah aliran yang betul. Lama kelamaan, kerja ‘lebih keras’ ini melemahkan jantung.
Masalah otot jantung (Cardiomyopathy) – Ada kalanya masalah ini disebabkan jangkitan, pengambilan alkohol yang berlebihan dan kesan toksin akibat penggunaan dadah, kokain atau ubat-ubatan ketika sesi kemoterapi. Ada kalanya penyakit seperti lupus, masalah tiroid boleh merosakkan otot jantung. Dalam kes tertentu yang puncanya tidak diketahui, ia dikenali sebagai “idiopathic dilated cardiomyopathy”.
Radang pada otot jantung (Myocarditis) – Ia biasanya disebabkan virus dan boleh menyebabkan kegagalan fungsi di sebelah kiri jantung.
Masalah jantung sejak lahir (congenital heart defects) – Jika jantung dan ruang (chambers) atau injap tidak terbentuk dengan betul, bahagian jantung yang sihat dan terbentuk dengan betul perlu bekerja lebih keras.
Ritma jantung yang abnormal (heart arrhythmias) – Ia menyebabkan jantung berdengup dengan terlalu cepat. Masalah itu menyebabkan jantung perlu bekerja lebih keras. Lama kelamaan, ia boleh menyebabkan jantung menjadi lemah. Degup jantung yang perlahan juga boleh menyebabkan lemah jantung.
FAKTA: Simptom lemah jantung
Letih dan lemah
Nafas pendek apabila baring
Batuk yang kerap
Bengkak (edema) di kaki, buku lali dan jari kaki
Bengkak pada perut (kembung)
Berat badan bertambah kerana sembab air (fluid retention)
Kurang selera makan dan loya
Denyut nadi yang pantas atau tidak sama
Rawatan
Perubahan gaya hidup dan ubat ubatan. Ia memperlahankan proses lemah jantung dan membaiki kualiti hidup. Antaranya berhenti merokok, kawal masalah tekanan darah tinggi dan kolesterol, bersenam dan mengamalkan diet yang sihat. Ambil ubat-ubatan jika disarankan doktor.
Angioplasty – Pembedahan pintasan koronari untuk mereka yang mengalami lemah jantung disebabkan masalah koronari arteri (CAD). Pembedahan ini merawat penyempitan atau penyekatan di arteri koronari.
Pacemaker – Alat ini mengawal ritma denyut nadi. Ia selalunya ditanam di dalam jantung dan bertindak menstimulasi jantung yang berdegup secara perlahan atau terlalu cepat atau mengawal denyut nadi yang tidak selari. Ia juga digunakan bagi menyeragamkan degupan pada kedua-dua belah jantung