‘Hilang tempat bergantung’

image-1

RAWANG – Seorang ibu tunggal buntu memikirkan jalan membesarkan anak-anak selepas suami yang menjadi tempatnya bergantung meninggal dunia akibat kemalangan September lalu.

Maniseh bt Abu Bakar,43 berkata, dia yang tidak bekerja mempunyai enam anak dan empat daripadanya masih kecil serta bersekolah.

Menurutnya, hanya anak sulungnya yang bekerja di sebuah pasaraya di Selayang tempatnya berharap kini.

“Gajinya hanya RM1,000 dan anak kedua pula belum bekerja kerana baru tamatkan pengajian.

“Sebelum ini memang bergantung penuh dengan pendapatan suami yang bekerja sebagai pemandu lori sebanyak RM1,800,” katanya kepada Sinar Harian.

Akuinya, anak-anak yang sedang membesar sememangnya menyukarkan dirinya dan suami membuat simpanan untuk kecemasan.

“Kami memang tidak ada simpanan dan biasanya suami akan membuat pinjaman awal sebelum tibanya gaji.

“Bulan ini juga perbelanjaan kami tersekat dan sewaan rumah juga tertunggak,” katanya.

Jelasnya, dia berharap diberikan peluang untuk menjalankan perniagaan melalui bantuan pembelian mesin pengadun.

“Saya ada belajar buat roti dan kek tapi alatan tak ada. Jika dapat bantuan ini bolehlah saya mulakan perniagaan dari rumah. Mahu keluar bekerja susah juga sebab perlu uruskan anak-anak bersekolah.

“Anak-anak ada menerima bantuan persekolahan setiap tahun. Jika boleh harap pihak zakat membantu untuk sewaan rumah sementara ekonomi kami kembali stabil,” katanya.