Tinggal kerjaya makan gaji
TIDAK ramai yang sanggup mengetepikan kerjaya ‘makan gaji’ untuk masuk ke dunia perniagaan yang belum tentu menjanjikan kejayaan. Jika ada pun, ia biasanya dilakukan secara sampingan.
Namun Fahizzal Md Saad, 31, meninggalkan kerjayanya untuk masuk ke alam perniagaan, meskipun pada ketika itu usianya baru menginjak 25 tahun.
Kerjaya sebagai perunding mungkin dilihat alternatif bagi mereka yang tidak mempunyai pekerjaan. Tetapi tidak untuk Fahizzal yang menganggap dunia perniagaan medan untuk dapat ganjaran setimpal usaha digerakkan.
“Pada masa itu, saya rasa kerja diberikan majikan tidak setimpal dengan gaji yang saya dapat. Jadi saya nekad cari sesuatu yang setimpal dengan kerajinan dan usaha saya.
“Saya terus mengorak langkah memilih Prudential BSN Takaful kerana saya lihat apa yang saya mahukan ada dalam perniagaan takaful ini,” katanya.
Baginya, untuk merubah sesuatu perkara perlu bermula dari diri sendiri.
“Saya selalu memegang prinsip untuk melihat apa kita capai dalam lima atau 10 tahun ke hadapan ialah tindakan dan sikap yang kita ada sekarang,” katanya.
Beliau berkata, semasa mula menceburkan diri sebagai perunding insurans, dia pernah gagal mendapat pelanggan selama tiga bulan berturut-turut.
Keadaan itu katanya, menyebabkan dia terpaksa menyewakan kereta bagi mendapatkan duit belanja bulanan.
“Agak mencabar dengan masalah kewangan yang semakin teruk sehingga saya terpaksa sewakan kereta. Namun cabaran harus ditempuh dan paling penting jangan putus asa,” katanya.
Berkat kesungguhan yang ditunjukkan, beliau kini boleh berbangga apabila berjaya menubuhkan agensi sendiri, Al Madani Group (AMG) yang mula beroperasi sekitar 2011 lalu.
“Sasaran 2015 kini, mahu mengembangkan perniagaan takaful ini kepada segmen pasaran yang berbeza selaras dengan misi untuk melahirkan usahawan takaful profesional,” katanya.