Kadar penembusan insurans, takaful berada pada tahap 55%
Kuala Lumpur: Pemain industri insurans tempatan sentiasa berusaha meningkatkan kadar penembusan insurans dan takaful dalam kalangan rakyat Malaysia mewakili semua kumpulan isi pendapatan rumah termasuk B40 iaitu mereka yang memiliki pendapatan 40 peratus terendah.
Presiden Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) Toi See Jong berkata, pada ketika ini kadar penembusan insurans dan takaful berada pada tahap 55 peratus berbanding sasaran ditetapkan kerajaan untuk mencapai kadar 75 peratus menjelang 2020.
“Kami sentiasa bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk meningkatkan kadar itu melalui pengenalan pelbagai inisiatif atau produk insurans dan takaful berpatutan berdasarkan segmen dalam memastikan semua kumpulan isi pendapatan rumah di negara ini mampu mendapatkan perlindungan insurans dan takaful,” katanya pada Sidang Kemuncak Insurans Malaysia di sini, semalam.
Hadir sama adalah Presiden Institut Insurans Malaysia (MII), Hashim Harun; Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman, Pengerusi Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), Antony Lee dan Pengerusi Persatuan Takaful Malaysia, Muhammad Fikri Mohamad Rawi.
Berdasarkan data industri, kadar penembusan insurans dan takaful kini berada pada tahap 55 peratus dengan insurans konvensional mewakili kira-kira 40 peratus manakala bakinya adalah daripada takaful.
Beliau berkata, pihaknya mengakui kemampuan menjadi faktor utama yang menyebabkan segelintir individu termasuk golongan B40 tidak membeli polisi insurans.