Syukur tunai haji usia muda
GEORGETOWN – Berpeluang menjejakkan kaki ke tanah suci Makkah dalam usia yang muda merupakan impian bagi semua umat Islam, temasuk Nor Muhammad Firdaus Sabarudin.
Peluang yang diterima menjadi tetamu ALLAH membuatkan Nor Muhammad Firdaus, 25, memanjatkan kesyukuran kepada ilahi kerana diberikan peluang menjejakkan kaki dalam usia sebegini.
“Perasaan gembira serta bersyukur terbit dalam sanaburi tatkala nama saya diumumkan terpilih untuk mengikuti haji pada musim haji kali ini.
“Saya andaikan dengan usia saya ia merupakan rahmat dari ALLAH kerana dengan izin-NYA berpeluang,” katanya.
Dia antara 279 jemaah haji berlepas melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang, semalam.
Katanya, dia didaftar oleh ibunya sejak berusia tujuh tahun lagi dan kali pertama namanya terpilih pada 2007.
“Saya pernah terpilih untuk mengikuti haji pada 2007, namun atas faktor usia yang agak muda di samping masih bersekolah pada ketika itu, hasratnya terpaksa ditangguhkan.
“Waktu itu hanya nama saya sahaja yang terpilih namun kali ini saya bersyukur kerana berpeluang untuk pergi bersama ayah saudara dan ibu saudara saya,”katanya.
Pemuda yang berasal dari Batu Kurau, Perak ini menanamkan niat untuk mengerjakan haji sejak kecil lagi.
“Alhamdulillah dengan dorongan serta semangat yang diberikan ibu serta ayah saya, akhirnya impian yang saya cita citakan selama ini menjadi satu kenyataan.
“Saya akan menggunakan peluang yang ada ini dengan sebaiknya, semoga saya mendapat Haji yang mabrur,” katanya.
Menurutnya, pesanan ibu dan ayahnya sentiasa menjadi azimat utama dan menjadi bekalan sepanjang pemergian saya ini.
Penerbangan kali ini membawa seramai 279 penumpang dari Pulau Pinang dijangka tiba jam 4.50 petang semalam (waktu tempatan).