Bekas pemandu lori perlu bantuan

image

NIBONG STESEN – “Saya buntu memikirkan nasibnya, tak tahu nak buat macam mana lagi.”

Demikian luahan Mek Hussin, 51, isteri kepada Che Abdul Ghani Hussin, 52, yang kini terlantar sakit berikutan mengalami kecederaan paha selepas terlibat dalam kemalangan, enam bulan lalu.

Sejak itu, Che Abdul Ghani yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori, langsung tidak dapat bergerak hingga terpaksa menggunakan lampin pakai buang menyebabkan perbelanjaan bulanan mereka semakin meningkat.

Menurut Mek Hussin, sejak suaminya jatuh sakit, mereka sekeluarga hilang sumber pendapatan sedangkan dia masih perlu menyara anak bongsunya, Mohd Saiful, 15, yang kini belajar di Sekolah Menengah Sultan Omar.

Katanya, lebih membimbangkan, suaminya masih belum sembuh sepenuhnya dan memerlukan rawatan susulan menyebabkan dia perlu mencari sumber kewangan bagi membiayai kos rawatan.

“Saya hanya harapkan anak-anak yang hulur duit belanja. Duit itulah yang saya guna untuk beli lampin, makanan dan keperluan lain. Mana cukup?” katanya ketika menerima kunjungan Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli di rumahnya.

Dalam kunjungan itu, Wan Hassan yang juga Yang Dipertua Pas Dungun turut menyampaikan sumbangan berupa kerusi untuk pesakit, selain wang tunai dan juga beras bagi kegunaan Mek Hussin sekeluarga.