Boleh dianggap pelaburan
Kuala Lumpur: Mengambil insurans atau takaful bagi perlindungan kediaman tidak boleh lagi dilihat sebagai sesuatu yang membebankan memandangkan risiko kerugian serius mungkin ditanggung sekiranya pemilik tidak mengambil polisi untuk kediaman mereka.
Perunding Kewangan Islam di Al-Falah Advisor Ahmad Humaizi Mat Noor berkata, masyarakat perlu mula menanam kepercayaan bahawa perlindungan insurans atau takaful adalah satu bentuk pelaburan dan bukan sekadar perlindungan semata-mata.
“Pemilik kediaman perlu memikirkan risiko kerugian serius yang bakal berlaku sekiranya tiada perlindungan dan bukannya mengalami kerugian terhadap sumbangan caruman yang dibayar setiap tahun,” katanya.
Menurutnya, memandangkan kekerapan kejadian bencana alam di Malaysia sejak kebelakangan ini, syarikat insurans dan pengendali takaful perlu lebih agresif dalam memberi kesedaran kepada masyarakat akan kepentingan untuk mengambil perlindungan.
“Walaupun mereka perlu menanggung kos tambahan, namun ia tidak menjadi satu bebanan sekiranya pengguna mengetahui kepentingan menangani risiko bencana alam.
“Kawasan yang kerap mengalami bencana alam wajar dijadikan satu syarat untuk mempunyai perlindungan bencana alam, terutamanya kepada mereka yang membuat pembiayaan perumahan dengan institusi perbankan,” katanya.
Menurutnya, setiap polisi mempunyai kadar bayaran tahunan yang berbeza mengikut risiko yang ingin dilindungi bergantung kepada syarikat insurans atau pengendali takaful.
“Tidak ramai yang memiliki polisi melindungi bencana alam kerana ia tidak menjadi syarat untuk mengambil perlindungan berkenaan oleh institusi kewangan yang membiayai pinjaman perumahan.
“Masyarakat menganggap perlindungan bencana alam tidak perlu dan hanya memadai dengan insurans kebakaran asas yang disyaratkan bank,” katanya.
Ahmad Humaizi berkata, kebanyakan pemilik kediaman percaya bahawa sekiranya berlaku bencana alam, ia tidak akan merosakkan harta benda mereka.
“Kebiasaannya, apabila kita membuat keputusan sama ada untuk mengambil langkah perlindungan, kita cenderung untuk merujuk pengalaman masa lalu.
“Kita membuat keputusan berdasarkan kepercayaan yang bencana alam yang teruk tidak akan berlaku kepada hartanah kita, kerana ia tidak berlaku kepada kita baru-baru ini sedangkan sejarahnya pernah berlaku pada 40 atau 50 tahun yang lalu sebagaimana banjir besar di Kelantan pernah terjadi pada tahun 1967,” katanya.
– See more at: http://www.hmetro.com.my/node/21162#sthash.u0qqNwOn.dpuf