‘Kami sudah habis wang’
Jempol: Sepasang suami isteri mengharapkan bantuan orang ramai bagi menampung perbelanjaan rawatan anak sulung mereka yang menghidap ketumbuhan tahap empat dan koma sejak 9 Mac lalu.
Anak mereka, Muhammad Nur Iman Mohd Razi, 5, sudah dihantar menjalani rawatan susulan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) Rabu lalu selepas menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah selama 44 hari.
Bapanya, Mohd Razi Aris, 37, dari FELDA Pasoh 2 berkata, pembedahan membuang ketumbuhan di kepala anaknya itu dijalankan di HKL pada 18 Januari lalu dan berada di wad selama tiga minggu sebelum dibenarkan pulang selepas itu.
Katanya, pada awalnya penyakit anaknya itu dikesan ketika mendapatkan rawatan di Hospital Jempol selepas tidak boleh berjalan dengan sempurna dan selalu keletihan jika banyak melakukan pergerakan.
“Anak saya kemudian dirujuk ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban dan pakar perubatan mengesahkan ada ketumbuhan pada bahagian kepalanya sebelum dirujuk ke HKL,” katanya dihubungi, di sini.
Katanya, doktor hanya membuang separuh ketumbuhan kerana dikhuatiri menimbulkan komplikasi lain terhadap kesihatan anaknya dan perlu menunggu ujian imbasan magnetik resonan (MRI) yang dibuat tiga minggu selepas pembedahan.
“Namun, kesihatannya terjejas selepas kami empat beranak terbabit kemalangan di Kuala Pilah sehingga anak terpaksa dimasukkan ke ICU HTAN pada 9 Mac lalu selepas tidak sedarkan diri,” katanya.
Mohd Razi berkata, dia dan isteri, Norhamima Abd Manap, 33, bersama-sama menjaga anak mereka sejak dimasukkan ke HKL menyebabkan mereka sudah kehabisan wang.
Katanya, sebelum ini dia turut berniaga kecil-kecilan, namun terhenti selepas kemalangan yang menyebabkan keretanya rosak teruk dan tidak boleh digunakan lagi.
Orang ramai yang mahu menyalurkan sumbangan boleh menghubungi Mohd Razi di talian 013-6949482.
– See more at: http://www.hmetro.com.my/node/46264#sthash.7IA12DSc.dpuf