Saya, sahabat terlantar dan insurans
Safar Ahmad
Baru-baru ini penulis berkesempatan menjenguk seorang teman lama yang terlantar akibat komplikasi buah pinggang.
Sudah hampir tiga tahun dia tidak dapat bekerja dan banyak masanya dihabiskan di rumah serta hospital.
Penulis amat bersimpati dengan keadaannya berikutan isteri yang tidak bekerja serta anak-anak yang masih bersekolah.
Tidak dapat digambarkan betapa sukarnya teman tadi menempuh dugaan Tuhan yang dihadapinya.
Penulis mengenalinya selama hampir 20 tahun. Sebelum ini, dia mengusahakan sebuah restoran di pinggir ibu kota dan perniagaannya sangat berjaya sehingga dapat membeli dua buah rumah dan beberapa kereta.
Bagaimanapun, apabila dia jatuh sakit teman penulis itu tidak dapat menumpukan perhatian kepada perniagaan manakala pembantunya pula sering bermasalah.
Akibatnya, perniagaan yang diusahakan terpaksa gulung tikar.
Wang simpanan semakin kehabisan. Sebuah rumah dan kenderaan terpaksa dijual untuk menampung kehidupan dan bayaran kos perubatan.
Isteri pula terpaksa terpaksa berhenti kerja berikutan perlu menjaga si suami dan menguruskan anak-anak.
Adat manusia apabila kita susah, rakan dan saudara pun mula menjauhkan diri.
Silapnya percaturan teman tadi ketika waktu senang dia tidak membeli polisi insurans kesihatan dan pendidikan anak-anak.
Malah, dia juga tidak membuat tabungan khas untuk anak-anak. Walaupun hidupnya boleh dikatakan senang ketika itu namun dia gagal membuat perancangan kewangan dengan betul.
Penulis pernah beberapa kali menasihatinya supaya mendapatkan perlindungan insurans untuk kemudahan di kemudian hari.
Kajian Bank Negara Malaysia (BNM) mendapati hanya enam peratus rakyat Malaysia mampu meneruskan kehidupan tidak lebih enam bulan dan 18 peratus sehingga tiga bulan jika kehilangan sumber pendapatan.
Perangkaan daripada Kementerian Kesihatan menunjukkan peningkatan dalam penyakit tidak berjangkit dengan kes hipertensi meningkat sebanyak 43 peratus, diabetes meningkat sebanyak 88 peratus dan obesiti meningkat sebanyak 250 peratus pada 2012 berbanding 2002.
Demografi dan perubahan pola kesihatan yang sedemikian memerlukan sokongan jagaan kesihatan jangka panjang dan mahal yang tidak dapat terus-terusan dibiayai oleh pembiayaan awam.
Atas faktor itu, adalah penting untuk setiap orang memiliki polisi insurans kesihatan sekurang-kurang pada kadar minimum.
Janganlah berkira dengan wang satu atau dua ringgit sehari untuk melabur sebagai jaminan masa depan.
Jumlah ini jauh lebih rendah berbanding yang dibelanjakan untuk membeli rokok.
Masih belum terlambat untuk kita mengubah tabiat pengurusan kewangan secara berhemah.
Penulis ialah Pengarang Berita Edisi Hujung Minggu
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2016 @ 1:12 AM