Terima pampasan RM102,000

image

KUALA KURAU – Penderitaan dihadapi seorang nelayan kehilangan kaki kanan ketika menangkap ikan tahun lalu, mendapat pembelaan apabila menerima pampasan insurans yang dicarum melalui Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) sebanyak RM102,000, minggu lalu.

Mangsa, Lim Qian Chuan, 26, berkata, dalam kejadian pada 30 Disember tahun lalu, kaki kanannya terputus setelah tersangkut pada tali pukat tunda yang digunakan sewaktu menangkap ikan bersama bapanya di sekitar perairan Tanjung Piandang, di sini.

Susulan kejadian itu, bapa Qian Chuan membawanya ke hospital untuk menyelamatkan kakinya, namun doktor bertugas mengesahkan anggota badan itu tidak dapat diselamatkan.

“Walaupun sedih bergelar orang kurang upaya (OKU), saya pasrah dan akan menggunakan wang pampasan untuk membeli kaki palsu bagi memudahkan kerja menangkap ikan kelak.

“Saya  berterima kasih kepada syarikat insurans yang dicarum kerana mempercepatkan proses kelulusan pampasan iaitu hanya tujuh bulan sahaja. Turut berterima kasih kepada Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Parit Buntar, Abu Bakar Mat Ali membantu memproses permohonan saya selama ini,” katanya sewaktu ditemui media dalam majlis penyampaian replika cek pampasan insurans, di sini.

Sementara itu, Abu Bakar menyifatkan tragedi menimpa mangsa adalah kemalangan yang tidak dapat dielakkan.

“Justeru, kami menggalakkan setiap nelayan berdaftar dengan Nekmat untuk membuat caruman insurans  syarikat dilantik persatuan itu bagi meringankan beban ditanggung keluarga nelayan jika sesuatu kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.