Insurans bantu kurang kos rawatan

DEKAD-dekad yang lampau selepas mencapai kemerdekaan menyaksikan Malaysia melalui satu perubahan ketara dalam sektor penjagaan kesihatan dengan kerajaan mendirikan banyak hospital moden yang dilengkapi peralatan canggih selain menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat.

Kini terdapat lebih ramai pakar terdiri daripada doktor perubatan dan pakar bedah yang berkhidmat untuk orang ramai di hospital dan pusat perubatan awam.

Serentak dengan keadaan ekonomi yang lebih kukuh di mana Malaysia sedang mengorak langkah mencapai status negara maju pada tahun 2020, hospital swasta juga tumbuh bagai cendawan selepas hujan di seluruh negara.

Tetapi ini juga bererti kos penjagaan kesihatan turut meningkat dan walaupun negara mempunyai puluhan hospital awam yang moden dan mempunyai cukup pakar serta peralatan yang canggih, adakalanya terdapat pesakit yang terpaksa mendapatkan rawatan di pusat perubatan swasta kerana pelbagai faktor yang timbul.

Antara faktor-faktornya ada kes yang memerlukan rawatan segera atau kekurangan pakar berkaitan dengan bidang tertentu seperti vaskular, ortopedik dan kardiak (jantung).

PAKAR

Baru-baru ini, pengurus bank Roslan Sulaiman terpaksa dimasukkan ke sebuah pusat perubatan swasta di bandar Sunway dekat sini kerana jangkitan kuman yang akut menyebabkan beliau mengalami demam yang teruk.

“Ia adalah satu kes kecemasan dan saya perlukan penghospitalan segera untuk antibiotik dimasukkan terus ke tubuh. Saya tidak punya banyak wang tetapi nasib baik ada perlindungan insurans perubatan yang diberikan majikan.

“Kos rawatan sembilan hari mencecah RM9,000 dan bilnya ditanggung pihak insurans. Kalau tidak saya terpaksa meminjam bagi menjelaskan bil itu,” Roslan memberitahu penulis baru-baru ini.

Bagi Roslan, adalah baik jika seseorang itu mendapatkan perlindungan insurans bagi dirinya dan ahli keluarga memandangkan kos penjagaan kesihatan kini sememangnya tinggi.

MANFAAT

Aktivis sosial Gurmukh Singh menjelaskan bahawa perlindungan insurans kesihatan memberi beberapa manfaat yang tidak ada dalam sistem kesihatan penjagaan kesihatan awam.

“Anda mungkin tanya, adakah berbaloi mempunyai perlindungan insurans kesihatan. Dalam banyak kes, adanya insurans perubatan membantu anda dalam memberikan masa yang singkat untuk prosedur surgeri elektif atau pilihan (jika dibandingkan dengan sistem penjagaan kesihatan awam).

“Anda boleh pilih untuk dirawat oleh siapa (dengan pakar yang anda selesa dan mahu) dan pada bila masanya. Bergantung dengan apa yang ditanggung (pihak insurans), kos untuk khidmat bukan hospital seperti bayaran fisioterapi ciropraktik dan beberapa terapi alternatif yang lain juga ditanggung insurans.

“Tetapi harus juga diingat bahawa insurans kesihatan anda tidak menanggung semua kos. Kalau semua ditanggung, konsumer akan perlu bayar lebih bagi perlindungan insurans kesihatan mereka,” jelas Gurmukh.

KOS

Kata Gurmukh, kalau seseorang memilih hospital awam, beliau tidak akan dikenakan caj yang lain melainkan untuk rawatan.

“Tetapi ada beberapa kelemahan seperti seseorang itu tidak boleh pilih doktor yang merawat. Prosedur akan dijalankan oleh pakar yang ditentukan hospital, dan pesakit tidak dibenarkan memilih siapa yang akan memberi rawatan.

“Pesakit juga tiada pilihan tentang fasiliti rawatan serta bila prosedur rawatan akan dijalankan (bergantung kepada adanya pakar bertugas). Semuanya ditentukan pihak hospital awam.

“Kemungkinan pesakit akan diletakkan di bawah senarai menunggu bergantung kepada keadaan penyakit dan ini boleh memakan masa berbulan-bulan lamanya (dan ada yang sampai bertahun-tahun).

“Kalaulah prosedur rawatan memerlukan pesakit tinggal di hospital, pesakit akan ditempatkan dalam wad yang dikongsi bersama pesakit lain dan tiada peluang untuk mendapat keistimewaan bilik untuk seorang,” katanya.

Kata Gurmukh lagi orang yang sihat pun memerlukan perlindungan insurans kesihatan bagi diri sendiri dan keluarga.

“Ia boleh melindungi seseorang daripada beban kewangan jika ada kemalangan atau penyakit yang timbul,” kata beliau.

KETENANGAN

Seseorang tidak akan tahu bila penyakit atau kemalangan akan timbul jadi sendainya beliau dan keluarga tidak mempunyai perlindungan insurans, kemungkinan besar beliau tidak mampu menanggung kos yang tinggi bagi rawatan yang diperlukan.

Juga, beban kewangan kerana penyakit atau kemalangan yang serius adalah tinggi, jelas Gurmukh.

“Mempunyai perlindungan insurans akan banyak membantu kerana kemalangan dan sebarang penyakit tidak tahu bila akan berlaku. Jadi tidak susahlah bagi seseorang itu mengeluarkan simpanan yang ada untuk hari tua bagi menanggung kos rawatan,” tambah beliau lagi. – Bernama